Pages

Click Here For More Info

Wednesday, 16 December 2015

Cara Rawatan Kemoterapi dilakukan

Kemoterapi adalah ubat-ubat yang digunakan untuk merawat barah dengan cara membunuh sel barah. Ubat kemoterapi ini berfungsi dengan cara menghalang sel barah daripada terus membahagi dan bertambah.

Tujuan rawatan kemoterapi adalah untuk menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau mengurangkan gejala penyakit barah dari terus membahagi dan bertambah serta merebak.
Cara kemoterapi dilakukan adalah dengan memasuki ubat kemoterapi melalui salur darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh badan. Ubat kemoterapi memasuki salur darah dengan segera sekiranya ia disuntik ke dalam salur darah. Sekiranya diberikan secara kaedah lain, ubat tersebut mestilah menyerap masuk ke dalam salur darah (contoh: ubat kemoterapi dalam bentuk biji yang dimakan dan diserap melalui dinding perut atau usus).
Ubat kemoterapi ini akan berada dalam sistem peredaran darah dan boleh memasuki serta memusnahkan sel-sel tertentu. Sel yang dipengaruhi oleh ubat kemoterapi adalah sel-sel yang bertambah dengan kadar segera seperti sel barah. Kadar kemusnahan sel barah adalah berbeza dan ianya bergantung kepada jenis barah itu sendiri.
Sel tubuh normal yang bertambah cepat juga boleh terganggu oleh kesan ubat kemoterapi tetapi sel-sel normal tersebut berkeupayaan untuk pulih dan bertambah semula berbanding sel barah.
Tempoh rehat di antara dua rawatan dapat memberi peluang kepada sel-sel yang normal pulih sebelum tiba masa rawatan yang selanjutnya.
Doktor yang merawat pesakit barah akan mengambil kira beberapa faktor dalam membuat perancangan rawatan kemoterapi kepada pesakit. Antara faktor penting tersebut adalah jenis barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga sekiranya barah telah merebak. Faktor lain yang perlu diambil kira adalah umur pesakit dan tahap kesihatan pesakit secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit berkemungkinan mendapat rawatan kemoterapi yang berbeza.
Kekerapan rawatan kemoterapi dan tempoh rawatan adalah bergantung kepada jenis barah, ubatan yang diberikan, tindakbalas sel barah terhadap ubat dan kesan sampingan ubatan.
Kemoterapi biasanya diberikan dalam beberapa tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan mengambil masa beberapa jam hingga kepada beberapa hari bergantung kepada ubatan yang diberikan. Setiap tahap rawatan itu akan diikuti dengan tempoh rehat untuk beberapa minggu bagi membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan sampingan rawatan. Jumlah keseluruhan tahap rawatan bergantung kepada tindak balas barah terhadap rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk merawat penyakit barah. Bagi sesetengah pesakit pula, mereka dikehendaki memakan ubat kemoterapi untuk beberapa minggu atau bulan sebelum diberikan tempoh rehat.
Pesakit mungkin diperlukan untuk menjalani ujian darah, sinar-X atau berjumpa dengan doktor sebelum diberikan rawatan kemoterapi dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua ubatan kemoterapi disediakan dengan cara tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu seketika sebelum memperolehi ubatan tersebut daripada Jabatan Farmasi hospital. Bagi membantu pesakit mengisi masa menunggu mereka disarankan untuk membaca buku, surat khabar, melakukan silang kata atau menulis surat. 

sumber dari :http://www.myhealth.gov.my/kementerian kesihatan.