Kemoterapi adalah ubat-ubat
yang digunakan untuk merawat barah dengan cara membunuh sel barah. Ubat kemoterapi
ini berfungsi dengan cara menghalang sel barah daripada terus membahagi dan
bertambah.
Tujuan rawatan kemoterapi
adalah untuk menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau mengurangkan gejala
penyakit barah dari terus membahagi dan
bertambah serta merebak.
Cara kemoterapi dilakukan adalah dengan memasuki ubat
kemoterapi melalui salur darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh
badan. Ubat kemoterapi memasuki salur darah dengan segera sekiranya ia disuntik
ke dalam salur darah. Sekiranya diberikan secara kaedah lain, ubat tersebut
mestilah menyerap masuk ke dalam salur darah (contoh: ubat kemoterapi dalam
bentuk biji yang dimakan dan diserap melalui dinding perut atau usus).
Ubat
kemoterapi ini akan berada dalam sistem peredaran darah dan boleh memasuki
serta memusnahkan sel-sel tertentu. Sel yang dipengaruhi oleh ubat kemoterapi
adalah sel-sel yang bertambah dengan kadar segera seperti sel barah. Kadar
kemusnahan sel barah adalah berbeza dan ianya bergantung kepada jenis barah itu
sendiri.
Sel
tubuh normal yang bertambah cepat juga boleh terganggu oleh kesan ubat
kemoterapi tetapi sel-sel normal tersebut berkeupayaan untuk pulih dan
bertambah semula berbanding sel barah.
Tempoh
rehat di antara dua rawatan dapat memberi peluang kepada sel-sel yang normal
pulih sebelum tiba masa rawatan yang selanjutnya.
Doktor
yang merawat pesakit barah akan mengambil kira beberapa faktor dalam membuat
perancangan rawatan kemoterapi kepada pesakit. Antara faktor penting tersebut
adalah jenis barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga
sekiranya barah telah merebak. Faktor lain yang perlu diambil kira adalah umur
pesakit dan tahap kesihatan pesakit secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit
berkemungkinan mendapat rawatan kemoterapi yang berbeza.
Kekerapan
rawatan kemoterapi dan tempoh rawatan adalah bergantung kepada jenis barah,
ubatan yang diberikan, tindakbalas sel barah terhadap ubat dan kesan sampingan
ubatan.
Kemoterapi
biasanya diberikan dalam beberapa tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan
mengambil masa beberapa jam hingga kepada beberapa hari bergantung kepada
ubatan yang diberikan. Setiap tahap rawatan itu akan diikuti dengan tempoh
rehat untuk beberapa minggu bagi membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan
sampingan rawatan. Jumlah keseluruhan tahap rawatan bergantung kepada tindak
balas barah terhadap rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin mengambil masa
beberapa bulan untuk merawat penyakit barah. Bagi sesetengah pesakit pula,
mereka dikehendaki memakan ubat kemoterapi untuk beberapa minggu atau bulan
sebelum diberikan tempoh rehat.
Pesakit mungkin diperlukan untuk menjalani ujian
darah, sinar-X atau berjumpa dengan doktor sebelum diberikan rawatan kemoterapi
dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua ubatan kemoterapi disediakan dengan
cara tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu seketika sebelum memperolehi
ubatan tersebut daripada Jabatan Farmasi hospital. Bagi membantu pesakit
mengisi masa menunggu mereka
disarankan untuk membaca buku, surat khabar, melakukan silang kata atau menulis
surat.
sumber dari :http://www.myhealth.gov.my/kementerian kesihatan.